Thursday, 29 December 2011

Kisah Dari Sahabat (1)

Sedikit bingkisan buat pembaca dan pengunjung setia blog saya. sedikit kisah dari sahabat buat sahabat diluar.
 


Prolog

Sesungguhnya cinta itu anugerah daripada Allah untuk setiap manusia yang bergelar hambaNya. Bagiku setiap cinta itu memerlukan pengorbanan, tidak semestinya apabila kita bercinta kita perlu untuk  bersama dengan orang yang kita sayang itu sehingga ke jenjang pelamin ataupun hingga ke akhir hayat. Bagiku jika betul orang yang kita sayang tu jodoh kita yang telah ditentukan oleh Allah di LohMahfuzNya, ke pulau mana sekalipun terpisah, berjuta tahun sekalipun terpisah, pasti akan bersatu jua suatu hari nanti, dan cukuplah bagi kita bahwa jika memang bukan dia jodoh kita, kita terima dan redha dengan ketentuanNya,  cukuplah sekadar kita mampu untuk  melihat dia sentiasa bahagia dengan orang yang dia sayang.
Nur Laila Ramadhani, wanita pertama yang bertakhta dalam hatiku. Seorang insan yang telah berjaya mengetuk pintu hatiku setelah sekian lama hatiku tidak pernah diisi dengan nama dan seraut wajah setulus dan seikhlasnya. Masjid Al-Falah menjadi saksi pertemuan kami buat pertama kali, entah mengapa malam itu, terdetik dibenak sanubariku untuk menyertakan doa semoga aku dikurniakan seorang srikandi sehebat Sumayyah, secantik Rabiatul Adawiyah, sebijak Fatimatul Zahra dan seindah Ainul Mardhiah, untuk mengisi kekosongan hati, menjadi permaisuri yang akan sentiasa bertakhta dihatiku. “Assalamulaikum…”kedengaran suara seorang wanita sedang memberi salam.
“Maaf, boleh tak saudara alihkan sekejap motosikal saudara, saya nak undurkan kereta saya sekejap…”
“Waalaikumsalam…ohh..maaf sebab menyusahkan saudari, sekejap ya..”seraut wajah itu,suara merdu itu membuatkan aku terpana, Ya Allah, kenapa  dengan jantung aku ni, berdebar  tak sudah-sudah. ‘Ya Allah ini ke yang dinamakan cinta?’ ‘Ahh…tak mungkin, baru sekali jumpa dah kata cinta, bukannya kau kenal pun gadis tu…’ benak sanubariku menafikan perasaan itu, namun  jauh di satu sudut sanubariku begitu kuat mengatakan  bahawa itu bukan kebetulan, tapi satu anugerah daripada Allah.



Bab 1
Villa Qasandra, 8.00 pagi

            Setiap hari, entah mengapa setiap kali aku usai dari solat, aku tidak pernah lupa untuk berdoa agar  diketemukan lagi dengan seraut wajah itu. Hati aku sudah mula belajar untuk mengenal erti rindu pada  seraut wajah srikandi yang mula bertakhta dihatiku. Sesungguhnya Allah itu Maha Kuasa, jika Dia berkehendakkan sesuatu pasti akan dilaksanakan. Seperti biasa, sudah menjadi rutin harianku untuk menolong bapaku dengan kerja-kerja pertukangan rumah, aku tidak mempunyai kelayakan SPM untuk meminta kerja yang mewah-mewah, gaji beribu, namun aku bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan oleh Allah ini untukku.
Hari itu aku dan ayah akan kerumah Encik Mansor, seorang usahawan bumiputera yang kini menjangkau usia 67 tahun, seusia dengan ayahku. Kami ke sana atas urusan untuk menyiapkan pergola di halaman rumahnya.
“Ayah, bulan puasa dah nak dekat….macam mana dengan persiapannya?”
“Entahlah Wan, ayah pun tak tahu, nampaknya bulan puasa kita tahun ni macam tahun-tahun sebelumnyalah agaknya.” Kata ayah menjawab persoalanku tadi dengan senyum hambar. Aku tahu ayah dan mak tak mampu untuk melakukan persiapan yang terbaik untuk keluargaku.
“Takpelah ayah, Wan faham,kita sekeluargakan dah biasa dengan suasana bulan Ramadan begini.” Aku berkata dengan nada yang sederhana dan kuhadiahkan secebis  senyuman buat mengubat duka dihati ayah, cuba meredakan perasaan hambar dan kesedihan yang sedang menjalari setiap genap hati ayah. Ku berdoa agar hati ayah setabah dan sekuat hati Bilal bin Rabah dalam menempuhi dugaan dan cabaran dalam hidup ini.
“Assalamualaikum Pak Hashim…” aku terkejut dengan sapaan dan teguran daripada Encik Mansor.
“Waalaikumsalam…la Encik Mansor…saya  ingatkan siapalah tadi. Ada apa Encik Mansor? Maaflah  Encik Mansor kalau kerja menyiapkan pergola ni ambil masa yang agak lama. Yela…orang tua buat kerja lambatlah sikit, nak harapkan Wan ni pun, dia bukan selalu ada dengan saya nak siapkan pergola ni.” Ayah menyuarakan rasa hatinya panjang lebar.
“Takpelah Pak Hashim…lagipun saya bukannya nak gunakan pergola ni segera.” Tambahnya lagi, “Ini pun saya suruh Pak Hashim buat pergola ni sebab  saya nak gunakan untuk bersantai dengan ahli keluarga saya sambil minum petang-petang. Lagipun anak saya yang baru habis belajar dekat Mesir tu dah balik minggu lepas…hah  tu pun dia.”
“Jemput minum,ayah,Pak Hashim,saudara…”
“Wan…Mohd Faris Ridhuan bin Hashim.” Aku bersuara. Aku bukan apa, kaget melihatkan seraut wajah yang sentiasa kudoakan kesejahterannya “terpacak” dihadapanku.
“Jemputlah minum saudara Wan…”
“Hmm..Pak Hashim,Wan…ni anak saya Laila,Nur Laila Ramadhani, dia ni baru balik dari Mesir, ni balik pun sebab nak ditunangkan dengan anak kawan saya tu si Izham, doktor pakar dekat Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia tu…nanti dalam bulan depan kiranya nak dilangsungkan…Pak Hashim dengan Wan datanglah ye…”  lembut suara Encik Mansor menjemput aku dan ayah ke majlis pertunangan seraut wajah yang sedang bertakhta  dihatiku dengan orang lain.
“Ya Allah, dugaan apa yang sedang melanda hambaMu ni…” Separuh berbisik aku bersuara, kiranya seraut wajah yang aku rindui itu dapat mendengar. Nampaknya wanita yang sering kurindui seraut wajahnya akan menjadi hak milik orang lain. Insan yang bakal bergelar tunangannya nanti seorang doktor pakar, sedangkan diriku hanyalah seorang tukang rumah, miskin, tidak beharta, tidak berpelajaran, tidak layak untuk bergandingan dengan anak seorang usahawan yang disegani, seorang insan  yang baru sahaja pulang dari Mesir dengan segulung ijazah, tapi aku segulung sijil SPM pun tidak ada.
‘Sedarlah Wan, kau tu tak layak nak bersama dengan si Laila tu…’ benak sanubariku mula menghasut.’Entah kau ni Wan, jangan nak berangan la nak kahwin dengan gadis pujaan hati kau tu..’ ‘Apalah yang ditakutkan dengan apa yang kita katakan sebagai satu lumrah dalam kehidupan Wan oii…’ benak yang lain pula mula menyimbah asid  hidroklorik keatas hati dan jantungku. Kiranya dia akan ditunangkan dengan orang lain.

            Bagaikan halilintar membelah bumi, terasa segala urat-urat dan sendi-sendiku lemah, bagaikan tidak bermaya untuk bertahan. Duniaku kini berputar bagaikan akan lenyap dalam sekelip mata. Yang terakhir kudengar hanyalah seseorang memanggil namaku, “Wannnn…”, lembut suara itu, menghempas pendengaranku, bagaikan dingin salju mula menyelimuti tubuhku. Aku pengsan. Di hadapan rumah gadis yang aku dambakan kehadirannya setiap hari dalam hatiku. Malunya bukan kepalang, sedar-sedar aku sudah berada di hospital.
Mataku masih berpisat-pisat. Kabur pandanganku.
“Itulah kau Wan…ayah suruh kau duduk kat rumah tak nak…, sekarang tengok apa yang dah jadi?”, sedikit kesal nada suara ayah. Aku tahu ayah sayang dan bimbangkan kesihatan aku.
Seketika kemudian ku lihat ayah dan ibu keluar beriringan. aku ditinggalkan keseorangan dalam wad yang kurasakan sangat kosong seperti kosongnya jiwaku apabila teringatkan seraut wajah yang aku rindui itu akan ditunangkan dengan insan yang lain.
"Astaghfirullah...kenapa aku perlu ingat pada dia yang tiada kaitan denganku, kenapa aku perlu merasa kosong, sedangkan kasih sayang Allah masih ada untuk aku." lidahku mula berbicara, separuh berbisik. Seketika kemudian, kurasakan sakit dibahagian ari-ariku, terasa bagai nak meletup, kugagahi segala urat-urat dan sendi-sendi yang ada untuk bangun dan bergerak ke tandas.
“Abang…apa yang kita nak buat ni bang?”  aku terdengar perbualan antara mak dan ayah ketika hendak keluar.
“ Nak buat apa? Mah tahukan keadaan keluarga kita? Macam mana kita nak bagitahu dia yang hati dia dah rosak? Mah  tak dengar ke apa yang doktor Izham cakap tadi, kos pembedahan tu menelan belanja lima puluh ribu Mah, abang tak ada duit banyak tu ”.
“Ya Allah, dugaan apa lagi yang kau timpakan ke atas hamba-Mu ini.” Aku disahkan menghidap penyakit hati, sebahagian daripada hatiku sudah rosak dan perlu dibuang dan digantikan dengan hati yang baru, namun masalahnya darahku jenis O positif, dan darah mak ayahku tak sesuai, mungkin disebabkan aku mewarisi darah daripada ahli keluarga yang lain, datuk aku misalnya.
“Ahh…Ya Allah, jika ini perhitungan yang terpaksa aku hadapi, aku rela dan sesungguhnya jika aku mati hari ini, matikanlah aku dalam iman,’ ujar aku dalam hati. Tanpa aku sedari, air mata mula membasahi pipiku, kurasakan kehangatan embun jantan dari mataku mula menuruni dan kemudiannya hinggap dibibirku. Aku redha Ya Allah, dengan ketentuanMu ini.

 Villa Qasandra, 8.45 malam

“ Laila, apa yang Laila merepek ni?”
“Tak perlu Laila, dia takde kaitan langsung dengan kita, dia bukan adik, abang, atau suami Laila pun. Jadi, jangan nak buat hal Laila!”
“Cukup, cukup dengan apa yang dah kau merepek harini. Pergi naik ke bilik kau.”
“Tapi mak…”
“ Aku kata cukup, cukup…”

‘Wan, maafkan saya...

0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates